top of page

SEJARAH ASAL USUL KAMPUNG PELONG

Sejarah kampung Pelong  bermula , apabila 20 keluarga Bangsawan  yang merupakan   satu rombongan yang terdiri dari 80 orang anggota menjadi pelarian dari negeri Johor dan  Pahang sekitar tahun 1600.

 

 Rombongan keluarga ini melarikan diri dan mengembara kerana tidak tahan dengan tekanan dan keadaan negeri mereka yang kacau bilau akibat peperangan yang tidak berkesudahan.

 

  Ketua Kumpulan rombongan ini di kenali dengan panggilan Tok Iman Pelong ( Pelong ialah berasal dari nama pokok yang berada di kampung ini), nama sebenar Tok Imam Pelong tidak diketahui, mengikut ceritanya keluarga Tok Iman Pelong sebenarnya  merupakan keluarga diraja yang terpaksa meninggalkan negeri dan menyamar menjadi rakyat biasa kerana  peperangan dan kekacauan pertelingkahan dikalangan kerabat istana yang berlaku di negeri  tersebut pada ketika itu.

 

   Dari negeri Johor mereka yang seramai 40 orang anggota kumpulan berpindah randah dari sebuah kampung ke kampung yang lain, dari sebuah negeri ke sebuah negeri yang lain,sehingga sampai ke negeri Pahang yang pada masa itu dalam keadaan kacau bilau juga. Setengah di antara penduduk di Pahang mengikuti rombongan ini menjadikan rombongan bertambah ramai dari 40 orang anggota kepada 80  orang anggota, perjalanan mereka memakan masa  lebih kurang  1 tahun sebelum sampai ke negeri Terengganu. Dan apabila sampai di Negeri Terengganu Tok Iman Pelong dan rombongan nya masih merasa tidak selamat, bimbang takut di kenali oleh pengawal istana yang di kenali sebagai Budak Raja pada masa itu.

 Setelah berminggu-minggu Tok Iman Pelong berfikir ditambah  rasa bimbang dengan keselamatan dirinya dan anggota keluarga serta ahli rombong , Tok Pelong mengambil keputusan lari kedalam hutan, dengan keadaan yang serba kekurangan maka bermulalah rombongan ini menempuh berbagai rintangan dan halangan sehingga ada di kalangan ahli kumpulan meninggal dunia akibat ditimpa kemalangan dan diserang binatang buas.

 

   Punca rezeki mereka ialah hasil buruan binatang dan  menahan bubu untuk mendapatkan ikan serta buah-buah hutan dan  ubi hutan. Setelah berbulan-bulan berpindah randah didalam hutan, Tok Iman Pelong membuat keputusan menetap di satu kawasan yang lapang dan dirasakan selamat jauh dari pekan dan desa dengan keadaan sungai yang cantik dan kawasan yang subur Untuk bercucuk tanam. Lalu Tok Iman Pelong mengarahkan  pengikutnya  membina sebuah surau untuk beramal ibadat selain pondok dan dangau untuk tempat tinggal keluarga masing masing.

 

   Sejak itu bermulalah sejarah baru apabila Tok Iman Pelong berjaya menghasilkan sebuah perkampungan kecil yamg terdiri dari 20 buah keluarga bekerja bercucuk tanam dan membuka kawasan tanah untuk dijadikan kebun huma padi dan kebun buah-buahan.

 

Setelah bertahun-tahun tinggal disini keluarga bertambah ramai akhirnya Tok Imam Pelong meninggal dunia  dan tempat beliau sebagai ketua kampung diganti oleh anak sulong beliau iaitu Tok Nandong(nama sebenar tidak diketahui),dikenali sebagai Tok Nandong disebabkan beliau pandai bermain sejenis permainan bernama Nandong. Kampung ini bertambah maju dari setahun ke setahun.

Selepas Tok Nandong meninggal dunia diganti pula oleh generasi selepas itu dan keluarga bertambah ramai serta kampung bertambah maju sehingga  ada pedagang-pedagang dari Kuala Terengganu yang di kenali sebagai orang dagang pada ketika itu datang  menaiki perahu yang di kenali perahu kajang  untuk menjual barangan seperti ikan kukus, ikan kering , beras , garam , serta pakaian . Pedagang ini juga membeli hasil hutan dari penduduk seperti buah hutan dan rotan serta buloh.

 

 Begitulah serba ringkas asal usul Kampung Pelong  yang pada asalnya dinamakan Kg. Tok Iman Pelong tetapi akhirnya kampung ini terkenal dengan nama Kampung Pelong sempena nama Tok Iman Pelong yang membuka  kampung ini sejak 400 tahun dahulu. Sempai sekarang pun masih ada lagi kubur  Tok Iman Pelong yang disemadikan di Kampung ini. Ada juga nama tempat di kawasan kampung Pelong yang ada kaitan dengan keluarga dan sejarah pembukaan kampung ini dahulu,  seperti Kg Tok Nandong sempena  nama anak sulong Tok Iman Pelong, Bukit Tok Iman sempena nama tempat Tok Iman Pelong membina surau dan Tok Iman Pelong menjadi Imam pada ketika itu. Masih banyak lagi tempat yang menjadi sejarah dan rahsia berkaitan  pembukaan kampung seperti Kg. Durian Rendang, Kg. Bukit Nyior, Kg. Bukit Genting dan sebagainya  menjadi rahsia yang tidak dapat di rungkai oleh generasi masa kini, dan kami penduduk asal Kampung Pelong adalah anak cucu keturunan Tok Iman Pelong atau anggota rombongannya yang banyak berjasa kepada kampung kami.

Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung ( JKKK) pula di tubuhkan pada tahun 1975 iaitu di namakan JKKK Kg. Pelong Mukim Hulu Nerus di Pengerusikan oleh  Allahyaham Hj. Said bin Salleh di bawah pengawasan Pejabat Daerah Kuala Terengganu. Pada tahun 1981 JKKK Kg Pelong di bahagi kepada dua pentadbiran JKKK iaiatu JKKK Kg.  Bukit Genting Pelong (JKKK Pelong sekarang) di pengerusikan oleh Allahyarham  En Jusoh Abu Bakar yang melibatkan 3 buah kampung iaitu Kg. Bukit Genting , Kg. Bukit Nyior dan Kg. Tok Nandong dan JKKK Kg. Bukit Berangan Pelong di Pengerusikan oleh En Zakaria bin Said ( anak kepada Hj. Said Salleh) yang melibatkan 3 buah kampung juga iaitu Kg. Tanjong,  Kg. Bt Berangan dan Kg. Mak Bakah. ( semua penduduk berpindah ke Kg. Seri Kenangan pada tahun 1991 di namakan JKKK. Kg. Seri Kenangan.

      Bilangan Pengerusi JKKK Kg. Bukit Genting Pelong (JKKK Kg. Pelong) adalah seperti berikut;

      1.   En. Mat Jusoh Abu Bakar  1980 hingga 1983 (Meninggal)

2.   Hj. Mamat Kamarudin Abd. Rahman  1983 hingga 2009 ( Besara)

3.   Hj. Abdul Rahman bin Abu Bakar  1.4.2009 hingga sekarang.

JKKK Kg. Bukit Genting bertukar kepada nama asal iaitu JKKK Kg. Pelong pada tahun 2009 setelah Hj. Abdul Rahman Abu Bakar di lantik sebagai Pengerusi JKKK.

       Sempadan Pentadbiran JKKK Kg. Pelong  bermula dari  Kg. Bukit  Genting 500 meter jalan        ke Sungai Tong, 1 km jalan ke Langkap, 3 Km. jalan ke Tasik Kenyir iaitu di sempadan Daerah Hulu Terengganu

       Pekerjaan utama Penduduk adalah petani dan penoreh getah (80 %) selebih nya pekerja ladang TDM,   guru, berniaga dan lain-lain.

Banyak peristiwa  menarik yang berlaku di kampung yang akan menjadi sejarah kepada dan akan di kenang oleh penduduk kampung pelong antara nya ialah lawatan Mantan Perdana Menteri  Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 27.8.1996 serta mengistiharkan Projek Dusun Nukleus Pelong, merupakan dusun terbaik dalam Malaysia.

Al-fatihah, dihadiahkan kepada Moyang kami Tok Iman Pelong dan ahli Rombongan  nya.         Semoga Roh mereka di cucuri Rahmat .

      Di Sediakan Oleh.

 

 

Hj. Abdul Rahman bin Abu Bakar

Pengerusi JKKK

Kg. Pelong

 

MAKLUMAT ASAS KAMPUNG

LOGO J3K KAMPUNG PELONG

Button

FOLLOW US:

  • Google+ B&W
  • Facebook B&W
  • LinkedIn B&W
bottom of page